Setelah berpenat lelah mengatur persiapan bagi mewakili Komuniti Bestari Negeri Selangor di peringkat Kebangsaan untuk musim 2009, majlis penghakiman di Kg. Setia telah selamat dijalankan. Kemenangan bukanlah misi utama kami, apa yang penting pengalaman serta kerjasama oleh semua pihak tidak kira apa jua fahaman ideologi, sama-sama berganding bahu bagi membuat persiapan untuk pertandingan ini.

Tepat jam 9.00 pagi, para jemaah hakim yang telah dilantik oleh pihak Kementerian Penerangan Malaysia tiba di Kg. Setia. Rombongan jemaah hakim tersebut telah diketuai oleh Encik Muhammad Azahari b. Abdul Rahman dan seramai empat orang pegawai hakim yang mengiringi rombongan jemaah hakim pada hari itu. Maka bermulalah sidang penghakiman pada pagi yang bersejarah bagi kami di Kg. Setia. Setelah selesai sesi penerangan & soaljawab, para jemaah hakim melawat tiga tapak projek keusahawanan di Kg. Setia iaitu projek ternakan ikan keli, ternakan kambing dan bengkel jahitan.


Apabila selesai lawatan ke tiga tapak projek tersebut, para jemaah hakim dihidangkan dengan tarian kuda kepang semasa makan tengahari sebelum jemaah hakim berangkat pulang. Majlis penghakiman tersebut berakhir pada pukul 2.00 petang.