Baru-baru ini telah berlangsung Majlis Penganugerahan Komuniti Bestari Terbaik Peringkat Negeri Selangor, dimana Kampung Setia sebagai tuan rumah untuk majlis penganugerahan tersebut telah dinobatkan sebagai Johan Komuniti Bestari Terbaik bagi peringkat Negeri Selangor dan sekaligus akan bertanding ke peringkat Kebangsaan pada pertengahan bulan Mei ini. Majlis perasmian dan penyampaian pada program itu telah dilaksanakan dengan meriah sekali oleh Timbalan Ketua Pengarah Penerangan Malaysia, iaitu Dato' Foziah A.Rahman. Turut hadir bagi memeriahkan lagi majlis penganugerahan tersebut, Ketua Pengarah Penerangan Negeri Selangor, iaitu Puan Hajah Saptuyah bt. Senson.


Selain daripada majlis penganugerahan tersebut, turut memeriahkan lagi suasana pada hari itu dimana berlangsungnya satu lagi program yang dianjurkan bersama Pejabat Wakil Rakyat N.13 DUN Kuang, iaitu Y.B Tuan Abdul Syukur b. Hj. Idrus telah mengadakan “Program Setahun Mandat Dijunjung”. Program ini diadakan bertujuan bagi merapatkan Silatulrahim diantara wakil rakyat tersebut dengan penduduk-penduduk di Kuang sepanjang tempoh setahun pemerintahan beliau menjadi wakil rakyat DUN Kuang. Pelbagai acara sukan padang telah diadakan pada pagi tersebut diantaranya Sukaneka bagi kanak-kanak TBK Kemas & ibubapa, acara Futsal Padang Tertutup, Pameran & Jualan aneka Produk dari barangan terpakai yang dihasilkan oleh Pertubuhan Wanita di sekitar Kuang yang mempunyai produk keluaran mereka sendiri.

Pada sebelah petang pula, para pengunjung telah disajikan dengan persembahan kebudayaan pelbagai kaum seperti persembahan Mendeklamasi Sajak dan Puisi, Tarian Kuda Kepang, Tarian Naga dan lain-lain lagi. Selain itu juga, para pengunjung juga telah dihiburkan dengan celoteh, kerenah dan gelagat artis jemputan iaitu Kumpulan Lawak No. 1 Malaysia, Kumpulan Senario yang dianggotai oleh Wahid, Azlee dan Lan Pet Pet. Majlis pada hari itu memang meriah dan diluar jangkaan. Kebanyakan pengunjung yang hadir tidak pulang dengan tangan kosong kerana terlalu banyak hadiah disediakan untuk mereka pada hari itu. Program berakhir pada pukul 4.00 petang.