SEPINTAS LALU MENGENAI KAMPUNG SETIA KUANG
********************************************************


Kampung Setia Kuang adalah sebuah kampung tradisional yang terletak di dalam Mukim Rawang II, Daerah Gombak Selangor Darul Ehsan dan Jaraknya dari Kuala Lumpur ialah 32 kilometer dan 50 kilometer dari Shah Alam.

Mengikut cerita yang diambil daripada beberapa penduduk, ‘Kuang’ ini mula dibuka pada sekitar 1920an. Nama ‘Kuang’ juga diambil sempena nama seorang yang bernama Tengku Awang( wakil Sultan ) yang selalu datang memburu di kampung Orang Asli ( Sekarang ini Ulu Kuang ) dan menjadi Penghulu di kawasan Rawang.

Beliau selalu membersihkan dirinya di pertengahan anak sungai iaitu Sungai Kuang dan Sungai Samak ( yang diambil dari perkataan ‘Bersih’ ) dan menunaikan solat di Madrasah Batu 20 Kuang ( sekarang ini Masjid Batu 20 Kuang ) dan nama sungai kekal hingga ke hari ini.

Pekerjaan utama penduduk Kuang pada masa itu ialah mencari Bijih Timah ( melampan Bijih Timah ) dan kegiatan ini hanya bertumpu di kawasan Ulu Kuang ( Kesan peninggalan yang ada sekarang ini – Tangga batu iaitu rumah yang dibina oleh Tengku Awang untuk Tok Batin ) dan juga di kawasan persekitarannya termasuklah di Kg Setia ini.

Di dalam tahun 30an kegiatan menternak kerbau oleh beberapa penternak (berbangsa Bengali ) telah mula menternak dan banyak tertumpu di kawasan Padang Kerbau sehingga ianya dikenali dengan nama Kg. Padang Kerbau.

Nama Kg Setia mula diberi oleh Penghulu Raja Engku Abdul Rahman kepada sebuah perkampungan bekas ‘AC’ dan ianya kekal sehingga hari ini. Kg Setia adalah merupakan gabungan tiga buah kawasan iaitu Bukit Tempurung ( diambil nama Bkt Tempurung keranabukitnya menyerupai atau seiras dengan tempurung), Batu 20 Kuang dan juga Padang Kerbau.

Sempena kawasan Kg Setia ini ialah dikira dari sebelah kiri jalan (Jika menghala ke Sg Serai ) dan sebelah Kanan ( Jika menghala ke Kuala Lumpur ) dari Klinik Desa Kuang ke Stesyen minyak BP. Nama Kg Setia telah diujudkan pada tahun 1976 pada mesyuarat penyelarasan kampung-kampung oleh Pejabat Daerah dan juga arahan supaya tiap-tiap kampung dapat menubuhkan JKKK masing-masing , maka dengan itulah tertubuhnya JKKK Kg Setia ini untuk terus memberikan khidmat kepada masyarakat selaras dengan hasrat serta matlamat kerajaan bagi mencapai negara maju. Insya Allah…